Pada 22 Jamadil Awal =
16 April (Sabtu), Surau Al-Ikhwan dikerumuni penduduk di sekitar Seksyen 5
Bandar Baru Bangi untuk bersama-sama menyertai Majlis Kesyukuran yang diadakan
di surau ini. Majlis kesyukuran ini diadakan kerana siap dan sempurnanya
pembinaan surau berkenaan. Pada
bulan Mei 2010, tempat surau itu ditandakan dan dimaklumkan bahawa sejak itu
bangunan mula didirikan dan akhirnya siap pada bulan November 2010, iaitu
sebelum hariraya Idul Adhha pada tahun tersebut dan sejak itu surau tersebut digunakan
hingga kini. Ini hanya menandakan kegigihan AJK dan kerjasama penduduk dan
penderma surau ini disiapkan dalam masa ENAM
BULAN SAHAJA!
Malam
kesyukuran ini dihadiri oleh Ustaz Haji Basri Omar iaitu Ketua Penolong
Pengarah Pengurusan Masjid di JAIS,
Ustaz Qari bin Musa iaitu Pengerusi AJK Surau, Dr Rushdi bin Jusoh iaitu Pengerusi
AJK Persatuan Penduduk dan para jemaah. Sebelum majlis dimulakan, waktu antara
Maghrib dan Isya` diisi dengan tazkirah berhubung dengan masjid yang
disampaikan oleh Ustaz Hazaruddin dari Jawi yang mana beliau juga sebagai
pengajar di surau ini dua kali sebulan.
Majlis
Kesyukuran dimulai dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Surau Ustaz Qari yang
mengucap terima kasih pada tetamu jemputan yang sudi hadir ke jemputan Majlis
Kesyukuran. Beliau menggalurkan sejarah pembinaan Surau al Ikhwan dan bersyukur
kerana berjaya mendapat dana dan membinanya dalam masa 6 bulan. Menurutnya
surau disiapkan dengan kos RM380,000. Sebanyak RM50,000 didapati dari Lembaga
Zakat Negeri Selangor. Selain dari tiu adalah dari derma orang ramai.
Menurutnya ada Hamba Allah yang menderma secara perseorangan sebanyak
RM100,000. Pada malam ini individu-individu yang menderma satu riba ke atas
dijemput untuk menghadiri Majlis Kesyukuran. Pengerusi Persatuan Penduduk Dr.
Rashdi memaklumkan bahawa AJK Surau dan AJK Persatuan Penduduk mempunyai
hubungan yang rapat, termasuklah mencari derma bagi dana Surau dan memakmurkan
Surau. Kata beliau, jamuan pada malam ini adalah dari peruntukan Persatuan
Penduduk.
Tuan
Haji Basari selaku Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Masjid memaklumkan permohonan
bagi mendiri masjid dan surau adalah meningkat, kita memang menggalakkan
pertambahan masjid dan surau, katanya. Beliau juga menyebut jumlah Masjid yang
melebihi 350 buah dan surau melebihi 1,600. Beliau berucap terakhir dengan
menyatakan kesyukuran kepada Allah kerana surau telah dapat disiapkan dalam
masa enam bulan dan memandangkan surau ini agak besar dan dapat memuatkan lebih
kurang 300 orang, mungkin ini satu rekod bagi kecepatan pembinaan surau.
Akhirnya beliau menyatakan harapan beliau untuk mengisikan surau dengan
berbagai kegiatan keagamaan, pendidikan dan kemasyarakatan. Biarlah surau
menjadi agen yang menyatupadu dan memajukan penduduk di sini. Pada akhir majlis
jamuan diadakan di bawah khemah yang dipasang dihadapan surau.
No comments:
Post a Comment